mutakhir

PKPD Felda Triang 3, Bera tamat awal [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Selepas enam hari dikuatkuasakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula 18 Februari lalu ditamatkan esok iaitu lapan hari lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada 3 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend penularan wabak Covid-19 di lokaliti itu menunjukkan penurunan dan terkawal.

Menurutnya, sehingga kini, KKM sudah menjalankan 237 ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 11 kes positif direkodkan.

"KKM turut memaklumkan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Sehubungan itu, atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu esok, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Teluk, Sitiawan, Perak yang dikuatkuasakan sejak 11 Februari lalu akan ditamatkan mengikut jadual esok.

"Hingga kini KKM sudah melaksanakan 131 ujian saringan ke atas penduduk dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 26 kes positif direkodkan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Februari lalu. Oleh itu kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu, esok seperti yang dijadualkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 6:11pm
    d