mutakhir

Kontraktor perlu elak sebabkan bekalan elektrik terputus ketika program vaksinasi - TNB

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta kontraktor yang melakukan kerja pengorekan supaya berusaha mengelak sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Operasi Rangkaian Pembahagian TNB, Mohd Yusof Ibrahim berkata, semua pihak termasuk kontraktor bersikap bertanggungjawab sebelum melakukan kerja pengorekan.

"Tahun lalu terdapat 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan dengan di Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna.

"Manakala di Kuala Lumpur pula mencatatkan 108 kes (94,000 pengguna), diikuti Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, peringatan itu sebahagian daripada langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan vaksin Covid-19 berikutan Malaysia mula menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada Jumaat ini.

"Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin perlu disimpan pada suhu -70 darjah celsius.

"Kita akan memastikan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program imunisasi.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah agenda penting negara untuk melawan virus yang hampir setahun merencatkan pelbagai aspek kehidupan kita," katanya.

Yusof juga mengulangi saranannya kepada kontraktor yang melakukan kerja pengorekan untuk menyemak dengan TNB sebelum memulakan kerja supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

"Orang ramai pula diminta memaklumkan segera kepada TNB CareLine 15454 atau menghubungi polis apabila ternampak pihak mencurigakan yang menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

"Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik.

"Bermain layang-layang dan dron berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 3:25pm
    d