mutakhir

Kluster Industri Sungai Gadut sumbang peningkatan mendadak kes baharu NS

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kluster Industri Sungai Gadut menyumbang kepada kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikenal pasti Isnin lalu membabitkan sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut di Seremban.

"Jumlah kes dalam kluster sehingga hari ini adalah 1,432 kes membabitkan 318 warganagera dan 1,114 bukan wargangera.

"Kilang berkenaan sudah ditutup pada Ahad lalu dengan jumlah pekerja yang tinggal di asrama adalah seramai 1,500 bukan warganegara yang terletak di dalam kawasan kilang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, majoriti kes dimasukkan ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang untuk pengasingan dan rawatan.

Katanya, bagi kes yang membabitkan warganegara, pesakit dimasukkan ke hospital, MAEPS dan dirawat di rumah.

"Keadaan di asrama pekerja sangat tidak memuaskan dan sudah diambil tindakan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Negeri Sembilan.

"Isu penginapan pekerja asing wajib diuruskan sebaik mungkin untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, lapan kluster baharu direkodkan dan lapan kluster sedia ada tamat hari ini.

Katanya, kluster direkodkan hari ini adalah Kluster Perindustrian Lukut, Kluster Jalan Ulu Choh dan Kluster Jalan Dato Yunus di Johor, Kluster Lorong Bakau dan Kluster Vista Hilir di Pulau Pinang manakala Jalan Enam di Selangor, Pasar Bidor di Perak dan Sinsingon di Sabah.

"Tujuh kluster baharu hari ini membabitkan tempat kerja manakala satu dalam komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 7:17pm
    d