mutakhir

Penerima vaksin Covid-19 tidak alami kesan sampingan, alahan

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: "Alhamdulillah, saya sihat dan tiada sebarang kesan sampingan atau alahan yang diterima selepas mendapat suntikan vaksin semalam," kata Penolong Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin.

Dia adalah antara petugas barisan hadapan yang terawal menerima suntikan vaksin ketika Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), di PKD Putrajaya Presint 11, semalam.

Khairul berkata, disebabkan tiada sebarang kesan sampingan atau alahan yang diterima, dia dapat menjalankan tugasnya seperti kebiasaan di PKD Putrajaya hari ini.

"Alhamdulillah, saya sihat. Tiada kesan sampingan atau alahan. Hari ini saya masih bertugas seperti biasa," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Khairul turut berharap supaya program imunisasi yang bermula semalam dapat berjalan lancar serta meminta orang ramai untuk tampil ke hadapan bagi menerima suntikan vaksin.

"Dengarlah saranan pakar kesihatan. Jangan percaya dengan berita palsu. Vaksin bukan sahaja penting untuk diri sendiri tetapi bagi melindungi orang yang kita sayang. Lindungi diri, lindungi semua," katanya.

Sementara itu seorang lagi penerima vaksin, Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin berkata, dia juga tidak mendapat sebarang alahan selepas disuntik.

"Sehari selepas menerima vaksin, tiada apa-apa kesan sampingan yang teruk pun, cuma sakit di bahagian yang disuntik. Sakitnya sama seperti menerima suntikan Tetanus (kancing gigi), itu sahaja. Semasa tidur pun tiada masalah, lena sahaja. Secara keseluruhannya semuanya okay.

"Diharapkan rakyat Malaysia bersiap sedia dan tampil untuk menerima vaksin Covid-19 supaya kita dapat mengawal serta menghapuskan virus berkenaan.

"Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan isu yang tular berkaitan vaksin ini kerana ia sudah dikaji dan terbukti keberkesanannya. Seharusnya masyarakat perlu mempercayai bahawa melalui penerimaan vaksin ini kita dapat melindungi diri dan juga masyarakat," katanya.

Sementara itu, pemandu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Clement Marai Francis berkata, sehingga hari ini dia tidak mengalami sebarang kesan samping dan semuanya seperti biasa.

"Saya tidak ada rasa apa-apa dan boleh tidur seperti biasa.

"Malah, hari ini pun saya bertugas menghantar sampel ujian saringan Covid-19 ke makmal... Nampak macam tak ada apa," katanya.

Kesemua petugas barisan hadapan kesihatan itu adalah antara individu yang menjalani vaksinasi melalui PICK yang bermula semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia menerima vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech di PKD Putrajaya semalam.

Turut menerima vaksin itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Dr Tan Yee Ling.

Permulaan fasa pertama PICK itu akan menyaksikan petugas barisan hadapan menerima vaksin masing-masing secara berperingkat-peringkat mengikut negeri, dalam usaha kerajaan melawan penukaran Covid-19 di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 2:16pm
    d