mutakhir

Vaksin Covid-19 diharap bantu lonjak semula sektor pelancongan

Oleh Mohd Amin Jalil

Port Dickson: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) berharap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam, akan dapat memulihkan semula sektor pelancongan di daerah ini.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, Port Dickson antara destinasi pelancongan menerima kesan teruk disebabkan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penyularan wabak pandemik berkenaan.

"Memang Port Dickson menerima kesan ketara daripada wabak Covid-19 ini sejak tahun lalu kerana apabila larangan merentas negeri dikuatkuasakan, tidak ramai pelancong boleh datang ke sini.

"Ini mengakibatkan pelancong yang sering membanjiri pantai Port Dickson termasuk dari Putrajaya, Shah Alam, Kuala Lumpur serta Johor Bahru, tidak dapat berkunjung ke sini.

"Berikutan itu, kesan ekonomi bukan sahaja dialami pengusaha hotel dan pusat penginapan, tetapi peniaga dan penjaja kecil serta mereka yang terbabit secara langsung dalam sektor pelancongan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, MPPD turut menerima impaknya terutama daripada segi pendapatan cukai apabila pengusaha hotel dan pusat penginapan serta agensi lain memohon mendapatkan bantuan penangguhan dan pengurangan cukai atau moratorium.

Menurutnya, pihaknya sedar pengusaha pelancongan dan rantaian sektor berkenaan terjejas pendapatan apabila tiada pelancong menginap di hotel selain aktiviti pelancongan rekreasi tidak berjalan seperti biasa.

"Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, kami sedar dan sentiasa bertolak ansur dengan pengusaha pelancongan kerana penularan Covid-19 berlaku di seluruh dunia.

"Kami yakin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan akan dapat membantu memastikan usaha menyekat rantaian wabak itu mencapai matlamatnya.

"Ini diharap dapat memberi ruang kepada usaha pemulihan ekonomi apabila pemulihan kesihatan awam berjaya mencapai matlamatnya dan kehidupan harian rakyat pulih seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 3:39pm
    d