mutakhir

PKPD: Polis kesan semula 22 penghuni Flat Anjung Tawas Damai

Ipoh: Polis berjaya mengesan 22 daripada 23 penghuni Flat Anjung Tawas Damai di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pekerja asing di sebuah kilang pakaian antarabangsa itu ditemui di alamat lain di sekitar Ipoh semalam sejurus pengumuman PKPD diuar-uarkan kepada orang awam.

"Mereka sebenarnya berada di alamat lain dan alamat yang didaftarkan di bahagian sumber manusia kilang itu tidak dikemas kini. Kita sedang mengesan seorang lagi lelaki warga Bangladesh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini dan akan dipindahkan ke PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor hari ini.

Semalam, A Asmadi berkata, daripada 439 penghuni flat lima tingkat yang dijadikan sebagai asrama pekerja kilang itu, seramai 377 penghuni termasuk 43 rakyat tempatan disahkan positif Covid-19, manakala 23 lagi gagal dikesan.

Kilang pakaian antarabangsa itu ditutup sebulan lalu susulan penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PKPD dilaksanakan di asrama itu selama 14 hari bermula semalam susulan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 1:26pm
    d