mutakhir

Sidang Parlimen boleh diadakan jika dapat notis Ketua Majlis

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Parlimen Malaysia baru-baru ini ada menerima cadangan daripada lima Ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan sidang Parlimen mengikut jadual asal yang sepatutnya dilakukan semalam, tetapi mereka dinasihatkan untuk mengutamakan proklamasi darurat yang dilaksanakan ketika ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, selain lima Ahli Parlimen berkenaan, pihaknya turut menerima cadangan yang sama daripada beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

"Namun pihak Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan Parlimen dengan sewenang-wenangnya dan memerlukan kebenaran serta notis daripada Ketua Majlis (Perdana Menteri).

"Walaupun Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memprorog (gantung), bubar dan panggil semula Parlimen namun ia perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri," katanya ketika sidang media program sumbangan barang keperluan kepada penduduk dalam Parlimen Batu Pahat di Kompleks Penghulu Mukim 9, Minyak Beku, di sini, hari ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen yang mahu sidang berkenaan diadakan perlu berjumpa sendiri dengan Ketua Majlis untuk menyatakan hasrat mereka.

"Sekiranya sidang Parlimen perlu diadakan dalam waktu terdekat ini, Ketua Majlis atau Perdana Menteri perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum ia dilaksanakan.

"Pihak Parlimen menasihatkan supaya semua Ahli Parlimen untuk akur dan mematuhi proklamasi darurat berkenaan demi kepentingan bersama," katanya.

Beliau berkata, Parlimen tetap memerlukan surat atau sekurang-kurangnya notis daripada Ketua Majlis untuk mengadakan sidang terbabit dan Ahli Parlimen perlu memahaminya.

Sementara itu, Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 400 penerima daripada golongan B40 di dalam kawasan Parlimennya.

"Barangan keperluan itu diberikan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19 dan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 2:52pm
    d