mutakhir

Kerajaan diminta 'pandang' orang muda di sektor pelancongan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4BM) meminta kerajaan meneliti semula kebenaran rentas negeri untuk industri pelancongan agar lebih adil kepada keseluruhan pihak berkepentingan di sektor itu.

Pemangku Presiden GB4BM Fahami Ashrof Badaruddin berkata, ia kerana kelonggaran dan kebenaran diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan agensi pelancongan sahaja tidak menyeluruh.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan agar kebenaran diberikan kepada semua termasuk kepada pengusaha kecil-kecilan dan bukannya agensi berdaftar semata-mata.

"Kita tahu ramai di antara peniaga khususnya Bumiputera mencari makan secara kecil-kecilan dalam sektor ini.

"Jika kebenaran diberikan kepada mereka yang berdaftar dan membabitkan negeri di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) saja, ia tidak akan memberi makna.

"GB4BM juga khuatir dengan nasib belia yang terbabit secara langsung di dalam industri sama ada pekerja hotel, pemandu pelancong atau 'beach boy'," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kebenaran kerajaan untuk pergerakan merentas negeri hanya bagi industri pelancongan domestik dibenarkan bermula hari ini.

Bagaimanapun, ia hanya membabitkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hanya kenderaan pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dibenarkan manakala penggunaan kenderaan persendirian masih dilarang.

Fahami berkata, sepatutnya kerajaan membuat keputusan yang memberikan manfaat kepada keseluruhan pemain industri dan bukannya kelompok tertentu saja.

"Isu pelancongan ini membabitkan rentas negeri. Tak boleh rentas, tak boleh pergi melancong. Lebih baik ada satu keputusan untuk semua atau tunggu sehingga Covid-19 reda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 10, 2021 @ 6:07pm
    d