mutakhir

Polis Perlis tambah 3 SJR

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Arau: Tiga lagi sekatan jalan raya (SJR) ditambah di Perlis bagi memperketatkan lagi pemeriksaan terhadap sebarang pergerakan rentas negeri ke negeri itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, sebelum ini terdapat 10 SJR di negeri itu ketika negeri berkenaan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita kemudiannya melonggarkan sedikit kawalan apabila beberapa SJR di kawasan tertentu ditutup selepas Perlis kembali menjadi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada akhir bulan lalu.

"Namun, selaras dengan arahan Bukit Aman bagi memperketatkan lagi SJR di setiap negeri di negara ini, kita menambah tiga SJR di kawasan Wang Kelian bagi memastikan tiada cubaan rentas negeri atau sempadan cuba dilakukan tanpa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa (Suksis) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Tahun 2021 di Dewan Kecemerlangan UniMAP, Pauh Putra di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Idris Abdullah, Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad dan Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof.

Menurut Surina, SJR yang ditambah itu sebenarnya sudah bermula sejak dua minggu lalu selepas Perlis mula dilihat mengalami pertambahan dalam kes penularan jangkitan Covid-19 sehingga mewujudkan Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Persiaran Wawasan di Kangar.

"SJR yang baru ditambah ini bukanlah bersifat kekal kerana ia akan diubah mengikut kesesuaian serta keadaan semasa.

"Perlis ini negeri kecil sahaja dan kita boleh lihat perubahan dari segi kadar kenderaan luar yang masuk, SJR ini akan bertindak untuk menghalang daripada kemasukan beramai-ramai mereka dari luar Perlis tanpa SOP serta surat kebenaran rentas sempadan yang sudah ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pihaknya melihat pematuhan SOP oleh rakyat di negeri ini sangat baik sekitar 97 hingga 98 peratus.

"Kompaun yang dikenakan juga sudah menurun kerana rakyat Perlis kini sudah mampu mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita mengharapkan agar pematuhan ini dapat diteruskan sehingga kadar penularan Covid-19 dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 56 pelatih yang juga pelajar UniMAP ditauliahkan menjadi Pegawai Kor Suksis (KS) UniMAP.

Pelatih Inspektor Kor Suksis (KS) Meor Fareed Khaleed dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, manakala bagi Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar pula dianugerahkan kepada Inspektor (KS) Norirdina Syaza Mat Sahbudin.

Bagi Anugerah Pelatih Terbaik Akademik dianugerahkan kepada Inspektor (KS) Azhar Amir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 4:09pm
    d