mutakhir

Rentas negeri tanpa surat, maki pula polis

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Sepasang suami isteri ditahan kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran selain menghalang tugas penjawat awam ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Junjong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian 10.45 pagi itu, anggotanya menahan Honda Jazz dinaiki pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, pasangan dari arah Pulau Pinang itu memberi alasan mereka mempunyai urusan pertukaran sekolah anak ke Kedah namun gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri atau dokumen berkaitan pertukaran persekolahan.

"Anggota polis bertugas cuba menjelaskan secara berhemah kepada pasangan berkenaan bahawa sebarang pergerakan keluar negeri tidak dapat dilakukan sekiranya tiada surat kebenaran.

"Ketika anggota polis meminta kad pengenalan lelaki berkenaan untuk pemeriksaan rutin, pasangan suami isteri itu bertindak keluar kereta dan memaki hamun anggota terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, berikutan itu pasangan terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

"Manakala isterinya ditahan mengikut Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.2) 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 10:23am
    d