mutakhir

Undang-undang tangani Covid-19 penuhi syariat Islam

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Undang-undang membendung penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan di Malaysia ketika ini sudah memadai sekali gus memenuhi tuntutan Maqasid Syariah dalam Islam.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Ainul Jaria Maidin berkata, usaha kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung Covid-19 selari lima prinsip Maqasid Syariah terutama dalam memelihara nyawa rakyat Malaysia.

Katanya, pewartaan Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat juga langkah tepat dalam membendung penularan dan menangani impak Covid-19 terutama ekonomi di negara ini.

"Usaha ini amat bertepatan dengan Maqasid Syariah terutama dalam memelihara nyawa dengan menyediakan penjagaan kesihatan dan kuarantin kepada mereka yang dijangkiti dan sekarang fasa pemberian vaksin.

"Pada masa ini, kawalan serta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam dan larangan merentas negeri bagi mengelak penularan juga dilihat tepat dalam melandaikan lekuk Covid-19 selain mengimbangi pembangunan sektor ekonomi.

"Kerajaan juga tidak meminggirkan kehendak aspek pendidikan dengan menyediakan pembelajaran dan pengajaran dalam talian kepada pelajar serta pemberian moratorium untuk peminjam yang terkesan adalah langkah sangat bagus untuk membantu sektor ekonomi.

"Dari aspek melakukan aktiviti keagamaan, solat berjemaah di masjid mengikut SOP berpandukan fatwa serta aktiviti keagamaan untuk penganut agama lain juga diselaraskan dengan sebaiknya," katanya yang menyertai Muzakarah Pakar Dari Perspektif Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) secara maya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan undang-undang akan kurang berkesan jika masyarakat tidak memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam membantu kerajaan menangani Covid-19.

"Apa yang kerajaan buat sudah mencukupi termasuk kenaikan kompaun RM10,000 itu bagus kerana mendidik masyarakat supaya patuh kepada SOP, namun sampai bila dan bagaimana dengan yang tidak mampu bayar, adakah perlu dipenjarakan?

"Jadi, sebenarnya rakyat perlu sama-sama memainkan peranan jangan meletakkan semuanya di bahu kerajaan semata-mata, misalnya ubah rutin pergi tempat sesak tanpa membawa anak kecil.

"Jika pergi ke tempat awam seperti pasar atau pusat beli-belah elakkan pada waktu sesak dan lebih elok premis berkenaan sediakan satu sistem giliran dalam talian bagi mengurangkan kesesakan pada satu-satu masa dan tempat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 2:58pm
    d