mutakhir

Pensyarah bukan perubatan bakal terima suntikan vaksin [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Semua pensyarah bukan perubatan di seluruh negara bakal menerima suntikan vaksin pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata, keutamaan suntikan diberikan kepada pensyarah yang terdiri daripada golongan berisiko.

Menurutnya, pensyarah juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti penerima suntikan vaksin yang lain iaitu berdaftar dengan MySejahtera.

"Mereka (pensyarah) akan diberikan 'Google Form' yang mana mereka akan isi dan beri semula kepada pihak universiti.

"Pihak universiti akan beri (Google Form) kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membuat pemadanan di aplikasi MySejahtera," katanya sempena Majlis Penyerahan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Pengerusi Eksekutif TRIPLC Berhad, Tan Sri Rozali Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Roziah Mohd Janor.

Dalam pada itu, Noraini berkata, HPUiTM bakal memulakan operasi secara rasmi pada 5 April ini.

Beliau berkata, HPUiTM menelan perbelanjaan sebanyak RM 599 juta dan mula dibina pada 11 April 2017.

"Lokasi hospital ini juga strategik dan sudah semestinya berpotensi digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membendung wabak ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2021 @ 8:26pm
    d