mutakhir

Port Dickson kembali meriah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kemeriahan pantai Port Dickson kembali lagi tetapi hanya pengunjung dari seluruh Negeri Sembilan.

Tinjauan Harian Metro mendapati pantai utama di Teluk Kemang kembali bernafas tetapi hanya dikunjungi orang ramai dari daerah lain di negeri ini.

Menurut pengunjung dari Felda Palong 6, Mohamad Fairuz Ali, 35, berkata, inilah peluang dia melancong ke negeri sendiri selepas kerajaan masih tidak membenarkan merentas negeri akibat pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

"Biasanya saya membawa anak-anak bercuti di tempat lain (luar Negeri Sembilan) tetapi dalam keadaan sekarang, lebih baik kita bercuti dalam negeri sendiri di Pantai Port Dickson.

"Baru kita sedar, sebenarnya Negeri Sembilan juga ada banyak lokasi menarik. Bila tidak boleh rentas negeri baru sedar negeri sendiri ada tempat menarik," kata bapa anak tiga ini.

Bagi pengunjung, Salmah Ahmad, 32, dari Jelebu, Negeri Sembilan berkata, kini dia sekeluarga baru berpeluang untuk melancong dalam negeri selepas sempadan negeri masih ditutup untuk pengunjung luar.

"Bagi saya, keadaan di pantai Teluk Kemang sekarang tidak sesibuk seperti biasa, mungkin kerana pintu sempadan masih tidak dibuka kepada orang ramai dan inilah peluang kita melancong ke negeri kita sendiri seperti Port Dickson yang banyak lokasi menarik.

"Sebelum ini bukan tidak berminat datang ke Port Dickson tetapi hari cuti umum biasanya sibuk dan pantai penuh dengan pengunjung luar.

"Bagaimanapun, saya berharap pandemik Covid-19 ini segera pulih dan pintu sempadan negeri dibuka supaya ekonomi negara kembali rancak," katanya.

Sementara itu, peniaga baju yang hanya mahu dikenali dengan nama Ropisah, 39, dia bersyukur keadaan mula pulih tetapi jumlah pengunjung berkurangan berbanding sebelum ini.

"Saya percaya jika keadaan pulih, baru ramai pengunjung luar datang ke sini kerana pintu sempadan masih ditutup untuk orang luar.

"Dari segi perniagaan, masih belum pulih sepenuhnya, masih suram namun kami bersyukur pelanggan masih ada cuma tidak seperti dahulu namun agak lega dengan jumlah pengunjung dalam negeri.

"Sebagai peniaga, kami akur arahan pihak kerajaan yang masih menutup pintu sempadan namun kita faham semuanya untuk kebaikan semua pihak bagi membebaskan kita dari penyakit berjangkit ini," katanya yang berniaga sejak 15 tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2021 @ 4:18pm
    d