mutakhir

Kasihanilah kami, industri perkahwinan baru nak bernyawa!

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Ribuan pengusaha majlis perkahwinan di negara ini bimbang sekiranya dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahan selebriti terkenal berlangsung Sabtu lalu, turut memberi kesan pada 'periuk nasi' mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, situasi ini amat menggerunkan pihaknya yang berada di dalam industri selain turut khuatir dengan impak yang bakal berlaku.

Menurutnya, ahli persatuan bimbang sekiranya mereka turut terkena tempias hingga menjejaskan semula perniagaan mereka yang baru sahaja kembali bernyawa apabila syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

"Kami berhempas pulas mencari jalan penyelesaian dalam proses rayuan pembukaan semula industri ini. Namun kami khuatir isu sebegini boleh memberi kesan negatif kepada rata-rata pengusaha majlis perkahwinan. bayangkan apa akan jadi jika industri membabitkan perkahwinan ini diarah tutup kembali.

"Saya mewakili persatuan ingin merayu semua pihak pengusaha majlis perkahwinan supaya tidak sesekali mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan.

"JIka berlaku penularan Covid-19 atau kluster perkahwinan, bukan hanya satu pengusaha bakal terjejas tetapi keseluruhan pemain industri di Malaysia akan menerima nasib sama.

"Kami harap kerajaan akan ambil langkah tegas dan sewajarnya dalam isu ini kerana kami merasakan apa yang berlaku ini tidak adil bagi semua selain boleh mewujudkan spekulasi dua darjat jika diabaikan," katanya.

Zarinah berkata, artis yang berkahwin itu juga perlu lebih peka dengan pematuhan SOP diwartakan kerajaan dalam memastikan keselamatan keluarga dan semua tetamu yang hadir.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi seseorang yang terkenal melaksanakan majlis perkahwinan tanpa mematuhi SOP kerana penularan wabak Covid-19 masih lagi belum dapat dibendung.

"Tidak kurang juga penasihat perancang perkahwinan membabitkan syarikat ternama, jadi mereka perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab supaya pelaksanaan majlis pelanggan mematuhi syarat SOP.

"Isu ini serius dan membimbangkan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku antaranya wujud kluster perkahwinan di mana akan terus mengakibatkan penutupan industri perkahwinan semula," ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan tadi, pihaknya akan memanggil pengacara dan usahawan tekenal, Neelofa dan suaminya untuk memberi keterangan esok berhubung dakwaan berlaku pelanggaran SOP pada majlis pernikahan mereka, Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut memanggil keluarga serta penganjur majlis berkenaan untuk memberi keterangan esok.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi berhubung perkara itu termasuk pengurus hotel yang menjadi lokasi majlis pernikahan pasangan selebriti terbabit.

"Siasatan mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Sabtu lalu.

Isu pelanggaran SOP pada majlis berkenaan timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 9:11pm
    d