mutakhir

415 pelatih Pulapol Kuching positif Covid-19

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching :Seramai 295 lagi pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching disahkan positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan pelatih di pusat berkenaan dijangkiti kini seramai 415 orang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, berikutan itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pulapol Kuching mulai hari ini hingga 29 April ini.

Aidi berkata, PKPD perlu dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan di pusat latihan yang terletak di Jalan Puncak Borneo itu dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

"Semua yang dijangkiti kini dirawat di pusat latihan itu dan Jabatan Kesihatan sudah menubuhkan klinik kesihatan 24 jam serta Pusat Penilaian Covid (CAC) di sana.

"Operasi pengesanan kes aktif (ACD) juga dilaksanakan di sana pada 12 hingga 14 April lalu yang membabitkan seramai 633 orang dan ACD kedua pada 17 hingga 19 April dijangka membabitkan kira-kira 2,000 orang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas melawat Bilik Operasi PKPD di Pulapol Kuching, di sini, hari ini.

Aidi berkata, seramai 20 orang tenaga pengajar dan ahli keluarga mereka juga didapati positif Covid-19.

"Saya berharap dengan pelaksanaan PKPD ini, kita dapat mengekang penyebaran dan menurunkan angka jangkitan," katanya.

Kes indeks jangkitan di Pulapol Kuching adalah seorang pelatih yang menjalani ujian swab di Klinik Kesihatan Kota Sentosa, pada 9 April lalu.

Pelatih yang berasal dari Perlis itu disahkan positif pada 12 April dan pada 13 April, sekumpulan 61 pelatih disahkan dijangkiti wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 5:05pm
    d