mutakhir

Semua sekolah di Kelantan ditutup hingga 1 Mei

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Sekolah di tiga daerah di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang ditutup sehingga 1 Mei ini.

Penutupan sekolah di tiga daerah itu menjadikan semua 596 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri itu ditutup.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Zulkernai Fauzi dalam satu pemakluman hari ini berkata, penutupan sekolah itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Khas) Negeri Kelantan-Penguatkuasaan Covid-19 hari ini.

Menurutnya, mesyuarat itu mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di tiga daerah iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

"Penutupan ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kira situasi semasa.

"Bagaimanapun, semua pelajar yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama," katanya.

Beliau berkata, semua guru diminta untuk memastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah itu.

Menurutnya, semua Pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan kesemua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Semalam, dilaporkan penutupan sekolah di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah serta semua 93 sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan di negeri ini sehingga 1 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 11:34pm
    d