mutakhir

Malaysia berdepan gelombang ke-4 Covid-19 jika...

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Malaysia mungkin akan berdepan gelombang keempat Covid-19 jika tahap pematuhan rakyat tidak dipertingkatkan.

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, kenaikan kes melebihi 3,000 sejak beberapa hari lalu berkemungkinan disebabkan peningkatan pergerakan rakyat kebelakangan ini.

Menurutnya, Covid-19 yang kini sudah ada dalam komuniti namun rakyat harus terus mempertingkatkan tahap kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Jika rakyat ambil sikap sambil lewa, tidak mustahil gelombang keempat akan berlaku dan ia sudah pasti beri impak lebih teruk.

"Kebelakangan ini pergerakan rakyat dalam komuniti bertambah dan ia antara faktor menyebabkan peningkatan kes baharu.

"Masyarakat disarankan untuk patuh kepada SOP kerana itu adalah kaedah terbaik mengekang Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, penutupan bazar Ramadan di beberapa negeri juga bagi mengelak penularan dalam komuniti semakin tidak terkawal.

Katanya, kerjasama masyarakat adalah penentu kepada kejayaan untuk mengawal Covid-19 daripada terus merebak dalam komuniti.

Semalam, Malaysia merekodkan jumlah kes melepasi 3,000 untuk tiga hari berturut-turut.

Keadaan itu menyebabkan beberapa bazar Ramadan terpaksa ditutup selain ada daerah dan kawasan yang perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertambahan kes ini nyata menggusarkan banyak pihak yang bukan saja bimbang kesannya terhadap ekonomi malah keupayaan fasiliti kesihatan juga mungkin akan terkesan jika kes terus naik mendadak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 1:36pm
    d