mutakhir

1,200 anggota pantau orang ramai patuh SOP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditubuhkan Polis Kuala Lumpur sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di ibu negara yang bermula Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pasukan yang membabitkan kekuatan lima pegawai dan 1,200 anggota itu ditempatkan di lokasi tumpuan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, pihaknya turut mendapat kerjasama 61 pasukan daripada agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Anggota yang bertugas akan beri peringatan demi peringatan kepada orang ramai supaya mereka sentiasa patuh kepada SOP sepanjang berada di tempat awam.

"Kita tidak terus keluarkan kompaun kecuali jika ada individu yang tetap berdegil dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali," katanya dalam sidang media selepas meninjau pematuhan SOP di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Ditanya mengenai kekeliruan peniaga berhubung arahan penutupan Bazar Aidilfitri itu oleh pengelola pagi tadi, Azmi berkata, wujud salah faham antara dua pihak terbabit.

"Saya ada ditanya oleh peniaga mengenai perkara itu dan saya sendiri menghubungi MKN untuk mendapatkan penjelasan.

"Peniaga dibenar meneruskan perniagaan sehingga jam 10 malam ini. Bazar ini mesti dikosongkan bermula esok bagi tujuan sanitasi. Manakala premis yang tersenarai Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) mesti tutup tiga hari," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengekalkan sembilan sekatan jalan raya (SJR) sedia ada selepas mendapati pematuhan pengguna jalan raya adalah baik.

"Alasan yang kerap digunakan pengguna jalan raya untuk rentas negeri disebabkan bekerja. Ada juga keperluan datang Kuala Lumpur untuk ambil anak di terminal pengangkutan. Anggota cukup berhati-hati dan membenarkan perjalanan selepas puas hati dengan keterangan diberikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 4:28pm
    d