mutakhir

Penting ikuti prinsip pencegahan penyakit

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Virus Covid-19 seperti sifat virus lain juga, akan mengubahsuai dalam situasi persekitaran dan ketika berada dalam pesakit atau perumah virus yang lemah imuniti.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, jangka hayatnya tidak lama jika tidak dapat perumah yang sesuai.

Justeru, katanya, tidak kiralah berapa banyak jenis varian - tiga varian baharu virus Covid-19 yang bersifat sporadik iaitu varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1) sudah dikesan di negara ini - dan yang akan timbul selepas ini, paling penting setiap anggota masyarakat perlu mengikuti prinsip pencegahan penyakit.

"Prinsip pencegahan penyakit terbukti dari dahulu lagi dapat mengekang penularan penyakit iaitu antaranya menjaga kebersihan diri, cuci tangan selepas sentuh permukaan tercemar, jangan menyentuh mata, hidung dan mulut dengan tangan kotor yang boleh menjadi punca penularan penyakit.

"Jaga persekitaran diri dengan sedaya upaya memastikan berada di tempat yang bersih dan selamat.

"Menjauhkan diri dari mereka berpenyakit, elak kontak kepada pesakit. Mengamalkan cara hidup sihat dari segi pemikiran, berkomunikasi, pemakanan dan kecergasan fizikal," katanya.

Selain itu, beliau berkata, boleh membuat saringan jika berisiko dan perlu mendapatkan rawatan.

Katanya, memandangkan hari ini umat Islam menyambut perayaan dengan kebiasaan amalan ziarah dan berjamu selera, maka langkah kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula di seluruh negara sangat disokong sebagai langkah cegah penularan virus.

"Pada zaman dunia semakin bertamadun dan berteknologi, walaupun duduk di rumah, pelbagai jenis pekerjaan masih boleh diteruskan secara digital.

"Namun, bagi mereka yang perlu meneruskan kerja di luar, maka menerusi keizinan dan pihak berkenaan ia mengawal seterusnya boleh membantu memastikan tiada perkumpulan orang yang boleh mencetuskan kluster.

"Bagi mereka yang berkeupayaan, gunalah cara terbaik agar tidak perlu keluar rumah melainkan jika ada kepentingan," katanya.

Tetapi, Rosnah berkata, bagi mereka yang tidak mempunyai kelengkapan asas yang mencukupi untuk sara hidup, harap dapat berhubungan dengan ketua kawasan supaya bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien.

Menurutnya, setiap anggota masyarakat perlu tolong orang lain memerlukan bagi menjamin kesihatan kepada semua orang.

"Jagalah ahli keluarga kita dengan sentiasa berpesan melakukan amalan pencegahan penyakit.

"Prihatin juga kepada jiran dan rakan sosial yang mana kita boleh membantu supaya kita sama-sama tidak merasai impak ekonomi yang teruk.

"Hari raya ini amalan menjaga pemakanan sihat perlu diteruskan. Setelah sebulan berpuasa dan berjaya menjaga amalan makanan yang terbaik, maka teruskan pemakanan sihat itu kerana itulah yang boleh membantu menguatkan imuniti diri kita," katanya.

Disamping itu, katanya, dengan cara pemikiran positif saling membantu pada yang perlukan keperluan asas boleh menjamin meningkatkan kesihatan mental komuniti.

Beliau berkata, jika hanya sibuk mempertikai, ia hanya merugikan dan menyebabkan punca tekanan atau stress.

"Stress sebenarnya adalah punca kepada banyak penyakit kerana secara fisiologinya boleh menurunkan tahap imuniti diri sendiri dan mendedah diri kita kepada penyakit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 5:02pm
    d