mutakhir

440 ditahan ingkar SOP

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 440 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 435 daripada jumlah itu dikenakan kompaun manakala lima direman.

"Antara kesalahan adalah gagal merekodkan butiran diri serta daftar masuk premis iaitu sebanyak 185 kesalahan, sementara 138 kesalahan lagi tidak memakai pelitup muka.

"Kesalahan lain yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal iaitu sebanyak 15 kesalahan dan kesalahan lain sebanyak 102," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ini.

Mengulas mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa merampas dua kenderaan darat menerusi Operasi Benteng.

Katanya, sebanyak 118 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

"Operasi Benteng membabitkan pelbagai agensi turut menjalankan 481 sekatan jalan raya semalam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 514 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

"Secara kumulatifnya, seramai 202,446 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu, ditempatkan di 75 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,454 individu dikuarantin, 193,028 dibenarkan pulang manakala 1,964 lagi dibawa ke hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 5:57pm
    d