mutakhir

Kerjaya baru cef 5 bintang [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bapa enam anak, Hassan Abdullah pernah menyandang jawatan sebagai eksekutif cef di hotel terkemuka bertaraf empat dan lima bintang dekat ibu kota satu ketika dulu.

Namun, Hassan, 61 memilih berundur daripada bidang perhotelan tiga tahun lalu untuk menimba pengalaman di restoran, tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila diberhentikan kerja pada Mac tahun lalu.

Ia berikutan langkah majikannya untuk mengurangkan kakitangan kesan Covid-19.

Meskipun sedih, Hassan menerima ujian itu dengan reda.

Berbekalkan 30 tahun pengalaman sebagai cef, Hassan diambil bekerja di Fatin's Kitchen iaitu sebuah restoran yang menghimpunkan kakitangan industri perhotelan.

Biarpun pendapatan diterimanya tidak lumayan seperti dulu, Hassan bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki di lapangan berbeza.

Menurutnya, dia mempunyai pengalaman menjadi cef di tujuh hotel dan enam restoran sebelum diberhentikan tahun lalu.

"Memang perit dan sedih apabila diberhentikan namun apa pilihan yang saya ada melainkan menerimanya walaupun berat.

"Lagipun, bukan saya sahaja, tetapi ramai cef lain yang terkesan, malah kami jadi sasaran awal kerana dibayar dengan gaji tinggi.

"Namun, diberhentikan kerja bukan pengakhiran hidup buat saya kerana kemahiran dan pengalaman membantu mendapat pekerjaan," katanya ketika ditemui di Fatin's Kitchen, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini.

Berkongsi pengalamannya di Fatin's Kitchen, Hassan mengakui ada perbezaan bekerja sebagai cef di hotel dan restoran terutama berkaitan skop kerja.

Namun, Hassan dapat menyesuaikan diri dan menganggapnya pengalaman baharu dalam hidupnya.

"Di hotel dulu, tugas saya lebih kepada memantau dan melakukan pemeriksaan kualiti namun kini saya sendiri menyediakan hidangan bersama pembantu cef.

"Cuma kapasiti pelanggannya lebih sedikit dan saya terima saja tugas diberikan kerana usia sudah lanjut dan tidak boleh memilih kerja terutama dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Fatin's Kitchen, Ahmad Jamil Khir Yahaya, 52, berkata, matlamat penubuhan restoran itu adalah membantu bekas kakitangan hotel yang kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Katanya, ketika ini, terdapat 10 kakitangan di Fatin's Kitchen terdiri daripada enam pekerja tetap dan empat kru perkhidmatan sebagai pekerja sokongan.

"Ada dalam kalangan kakitangan mempunyai 40 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan, tetapi berada di sini kerana kehilangan pekerjaan.

"Kepakaran dan pengalaman itu yang menyebabkan mereka diambil bekerja cuma di sini, tiada pengkhususan sebaliknya perlu melakukan pelbagai skop kerja untuk menjadi serba boleh.

"Namun, kakitangan berkenaan masih mengamalkan cara kerja seperti di hotel dari segi perkhidmatan dan penyediaan makanan bersesuaian dengan latar belakang mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 7:15am
    d