mutakhir

5 individu dikompaun, bersiar-siar naiki kenderaan lebih 3 orang

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lima individu dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas didapati bersiar-siar dengan menaiki kenderaan melebihi tiga orang di Jalan Alor Mengkudu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lima individu terbabit kesemuanya lelaki berusia 19 hingga 23 tahun ditahan ketika menaiki sebuah kereta Proton Wira pada 6 petang.

Beliau berkata, pemandu kereta itu diarahkan berhenti di tepi jalan oleh pasukan pemantau Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang ketika itu melakukan pemantauan di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menaiki kenderaan persendirian melebihi tiga orang ketika tempoh PKP ini.

"Kompaun dikeluarkan terhadap kesemua penumpang termasuk pemandu kerana melakukan kesalahan Perkara 16 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kesemua mereka dikompaun RM2,000 seorang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 5:07pm
    d