mutakhir

Beri alasan ambil gambar raya rentas daerah, 11 dikompaun

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Tindakan 11 individu merentas daerah tanpa surat kebenaran polis untuk bersiar-siar sambil mengambil gambar raya mengundang padah apabila mereka dikompaun RM5,000 seorang.

Mereka ditahan Jalan Baru Pulau Bunting, di sini, pada hari raya pertama Khamis lalu kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menahan empat kereta ketika melakukan tugas Op Samseng Jalanan pada 6 petang hingga 9 malam.

Beliau berkata, kesemua mereka adalah lelaki berusia antara 20 hingga 23 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka datang dari Alor Setar dan Kuala Muda.

"Bagaimanapun kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan rentas daerah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan dan disyaki melakukan kesalahan, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahnaz berkata, seorang daripada yang dikompaun bekerja di negeri lain namun memberi alasan pulang menziarahi ibu sakit di Alor Setar tetapi mengambil kesempatan merentas ke daerah ini tanpa surat kebenaran polis.

Beliau berkata, mereka mengatakan bergerak dari daerah masing-masing menuju ke daerah Yan untuk tujuan berjalan-jalan dan untuk mengambil gambar di Pulau Bunting sempena hari raya.

"Mereka mengaku melanggar PKP dengan melakukan pergerakan rentas daerah tanpa sebarang dokumen kebenaran," katanya

Shahnaz berkata, kompaun dikeluarkan Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 6:14pm
    d