mutakhir

Hanya 100 jemaah solat Jumaat di Melaka

Oleh Hassan Omar

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), hari ini, mengehadkan jemaah solat Jumaat di masjid hanya kepada 100 orang berbanding berdasarkan kapasiti masjid sebelum ini.

Solat fardu di masjid dihadkan kepada 20 orang, termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkuat kuasa hari ini.

Sehubungan itu, JAIM membatalkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti solat jemaah dan program pengimarahan mengikut kapasiti masjid dan surau sebelum ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ia berkuat kuasa hingga 7 Jun depan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini, semalam.

"Hanya 10 jemaah dibenarkan solat fardu di surau dan bagi surau yang ada solat Jumaat (surau Jumaat), maksimum hanya 50 jemaah dibenarkan solat Jumaat," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Bagi solat jenazah, hanya 20 jemaah dibenarkan di masjid dan 10 orang di surau, manakala singgah solat di masjid dan surau masih dibenarkan.

Bagaimanapun, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti ceramah, bacaan Yasin dan tahlil, bengkel dan kursus serta penganjuran majlis ditangguhkan.

Beliau berkata, kebenaran bagi majlis akad nikah di masjid dan surau ditentukan pejabat agama Islam daerah (PAID) masing-masing.

Sebelum ini, JAIM membenarkan solat Jumaat mengikut kapasiti masjid dan surau Jumaat tetapi melarang aktiviti pengimarahan masjid.

Sementara itu, negeri ini mencatatkan 212 kes positif Covid-19 semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini.

Peningkatan mendadak itu adalah akibat kluster sedia dan tiga kluster baharu.

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) berkata, tiga kluster baharu membabitkan dua kluster tempat kerja, iaitu Kluster Jalan Dato Dol Said dan Kluster Bukit Tempayan, selain kluster Komuniti, iaitu Kluster Batu Lapan Bukit Rambai.

Kluster Jalan Dato Dol Said membabitkan daerah Alor Gajah dan Jasin yang menyaksikan seramai 136 individu sudah disaring dan 27 kes positif.

Kluster Bukit Tempayan membabitkan tempat kerja di daerah Melaka Tengah pula merekodkan 11 kes positif dan seramai 62 individu sudah disaring.

Kluster Batu Lapan Bukit Rambai merekodkan 12 kes positif berdasarkan saringan terhadap 30 individu yang membabitkan kontak rapat di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Melaka turut mencatatkan kematian tertinggi semalam, iaitu empat kes membabitkan lelaki berusia 50, 63, 72 dan 86 tahun yang mempunyai latar belakang pelbagai jenis penyakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 8:39am
    d