mutakhir

Tiada pemotongan elektrik domestik di Semenanjung hingga akhir Jun

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju tiada pemotongan bekalan elektrik terhadap pengguna domestik di Semenanjung dengan syarat bil tidak mempunyai tunggakan melebihi enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengguna domestik juga ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun lalu bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

"Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

"Mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Malah kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di rumah kediaman yang mempunyai tunggakan tidak melebihi enam bulan sehingga 30 Jun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar berkata, bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

"Melalui pelaksanaan inisiatif ini, dianggarkan 6.96 juta pengguna domestik di Semenanjung memperoleh manfaat ini.

"Diharapkan inisiatif ini membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 1:54pm
    d