mutakhir

Insiden LRT: 65 penumpang masih dirawat di HKL [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 65 penumpang yang terbabit dalam kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya semalam masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 29 orang adalah lelaki dan 36 lagi adalah wanita.

"Turut menerima rawatan adalah enam warga asing dan selebihnya warga tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohamad Zainal dilaporkan berkata, 47 penumpang parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren LRT berkenaan.

Menurutnya, terdapat 213 penumpang di dalam tren LRT yang terbabit kemalangan di dalam terowong berhampiran KLCC malam tadi.

Berdasarkan siasatan awal katanya, tren yang membawa semua penumpang terbabit dalam perjalanan dari arah Gombak menghala ke Kelana Jaya bertembung dengan tren yang sedang diuji dari arah bertentangan.

"Tren yang membawa penumpang itu dipandu secara automatik, manakala tren yang sedang diuji kerana mengalami kerosakan pula dipandu secara manual.

"Pertembungan berlaku di rel dalam terowong berhampiran KLCC. Kemalangan itu menyebabkan semua penumpang yang dalam tren mengalami kecederaan," katanya.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Berita berkaitan

Insiden LRT: Laporan awal diserahkan hari ini

LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa

Pastikan rawatan menyeluruh untuk mangsa

Insiden LRT: 'Anak menangis beritahu tidak dapat rasa kaki yang cedera'

Insiden LRT: Terowong sempit sukarkan pasukan penyelamat

Insiden LRT: Kemalangan akibat pertembungan 2 tren

Insiden LRT: 'Penumpang terpelanting, jatuh'

Insiden LRT: Segera siasat punca kemalangan - PM

Insiden LRT: 47 parah, 166 cedera ringan

Penumpang cedera, tren LRT berhenti mengejut [METROTV]

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 9:18am
d