mutakhir

'Sudah jangka kena PKPD, kami dah bersedia'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Melihat kepada jumlah kes (positif Covid-19) yang banyak direkodkan di kawasan ini, saya sudah menjangkakan pangsapuri ini akan dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan)," kata penghuni Pangsapuri Permai, di sini, Maizatul Akmar Md Kamal, 48.

Maizatul yang juga pekerja di sebuah syarikat hartanah berkata, beliau menyedari jumlah kes positif yang tinggi di kawasan itu melalui laporan berita.

"Saya difahamkan kebanyakan kes yang dilaporkan di pangsapuri ini membabitkan blok A dan blok B, malah jiran saya tiga sekeluarga disahkan meninggal dunia akibat Covid-19, baru-baru ini.

"Sebelum ini, memang ada kes positif Covid-19 yang dilaporkan di kawasan ini, namun jumlah kes dilihat mula meningkat selepas Aidilfitri," katanya ketika ditemui di pangsapuri berkenaan, hari ini.

Maizatul yang juga penghuni di blok B pangsapuri berkenaan berkata, dia sudah membeli awal barang keperluan sejak minggu lalu.

"Namun apabila pengumuman itu (PKPD) dibuat semalam, saya keluar membeli barang keperluan hari ini sebagai persediaan sekiranya PKPD di kawasan ini akan dilanjutkan lebih dari dua minggu.

"Setakat ini, saya dan adik yang tinggal serumah masih belum membuat ujian saringan dan harap kami dijauhkan daripada virus berkenaan," katanya.

Seorang pemilik kedai runcit di pangsapuri itu, Zaimi Hassan, 51, berkata, beliau sudah menerima arahan penutupan premis berkenaan susulan pelaksanaan PKPD bermula tengah malam ini.

"Saya akur dengan arahan itu dan pada masa sama, saya juga membuat persiapan untuk diri sendiri dan keluarga dari segi bekalan barang keperluan.

"Hari ini, saya keluar rumah untuk membeli barang keperluan termasuk makanan seperti ikan, daging dan ayam bagi tempoh dua minggu sebagai persediaan PKPD," katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan meningkat selepas ada ahli jawatankuasa (AJK) surau di pangsapuri itu dijangkiti virus berkenaan menjangkiti penduduk lain.

"Setakat ini, belum ada kes positif (Covid-19) yang direkodkan di blok C iaitu tempat kediaman saya, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi mengelak jangkitan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Blok C Pangsapuri Sri Penara, Noriah Azmi, 33, berkata, beliau sedia maklum dengan jumlah kes yang tinggi di kawasan berkenaan.

"Saya jarang berada di rumah kerana bekerja. Sebaik pengumuman PKPD dibuat semalam, saya sudah merancang untuk membeli barang keperluan hari ini sebagai persediaan.

"Namun, barang keperluan yang dibeli hari ini tidak begitu banyak kerana ia hanya sebagai tambahan kepada bekalan barangan yang dibeli sebelum ini," katanya yang ditemui di pangsapuri berkenaan, hari ini.

Noriah yang juga jurutol berkata, dia sudah membuat ujian buat kali pertama pada minggu lalu susulan ada kes positif dilaporkan di kedai runcit berhampiran rumahnya.

"Saya mengambil inisiatif untuk membuat ujian saringan sendiri memandangkan saya pernah datang ke kedai berkenaan untuk membeli barang.

"Alhamdulillah, keputusan ujian saringan saya didapati negatif. Namun, saya masih risau kerana jumlah kes yang tinggi blok ini hingga arahan PKPD dikenakan," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di kedua-dua kawasan berkenaan mendapati ada penduduk dilihat masih meneruskan aktiviti seharian termasuk keluar rumah untuk membeli barang keperluan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan PKPD di Pangsapuri Permai serta Blok C dan D Pangsapuri Sri Penara, Cheras, di sini, bermula esok hingga 10 Jun nanti susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: May 27, 2021 @ 4:39pm
d