mutakhir

12 perkhidmatan pembuatan dibenarkan beroperasi [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi dalam Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula 1 hingga 14 Jun ini kecuali 12 perkhidmatan pembuatan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kapasiti bekerja yang dibenarkan pula adalah 60 peratus pekerja sahaja.

Katanya, antara yang dibenarkan adalah pembuatan dalam aeroangkasa membabitkan komponen dan penyelenggaraannya, pembaikan serta baik pulih.

"Selain itu, pengilangan makanan dan minuman, bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan, barang dan penjagaan diri serta bahan pencuci.

"Pengilangan keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.

"Komponen bagi peranti perubatan, elektrikal dan elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global), minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia," katanya dalam sidang media mengenai perincian SPP, hari ini.

Beliau berkata, turut dibenarkan beroperasi adalah pengilangan mesin dan peralatan hanya yang berkaitan kesihatan dan makanan.

Ismail Sabri berkata, bidang perkilangan lain yang turut dibenarkan beroperasi ialah tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja selain pengilangan bagi pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 7:13pm
    d