mutakhir

15 jemaah dibenarkan solat Jumaat, fardu di Pulau Pinang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid atau surau negeri ini dengan hanya 15 orang serta mengikut penjarakan fizikal satu meter.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan beberapa pihak termasuk Mufti Pulau Pinang mengikut garis panduan yang ditetapkan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Fasa Pertama bermula esok.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi kenyataannya berkata, kebenaran pelaksanaan itu diberi kepada Jawatankuasa Kariah, pegawai dan siak di masjid serta surau atau ahli kariah yang ditentukan.

Katanya, bagi jemaah solat Jumaat, mereka perlu mendaftar dalam rekod kehadiran selewat-lewatnya sehari lebih awal dan tidak mempunyai gejala Covid-19.

"Manakala bagi masjid yang terletak di sekitar Georgetown dan tiada atau kurang ahli kariah tetap, mereka boleh dipilih dalam kalangan jemaah setempat menerusi pendaftaran awal.

"Ahli kariah yang terpilih atau secara penggiliran mestilah berusia 15 hingga 70 tahun," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi urusan solat dan pengebumian jenazah bukan Covid-19 pula ditetapkan tidak melebihi 15 orang terdiri daripada imam, ahli jawatan kuasa masjid atau surau serta ahli keluarga terdekat.

Manakala, aktiviti menziarah kubur tidak dibenarkan namun kebenaran penggunaan ruang solat di masjid dan surau diberi kepada musafir.

"Aktiviti ceramah dan kuliah pengajian hanya diberi secara dalam talian dengan semua aktiviti secara bersemuka tidak dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 5:15pm
    d