mutakhir

37 jemaah dikompaun ingkar SOP PKP

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seramai 37 jemaah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dipercayai menunaikan solat berjemaah di dua surau di Mukim Chetok, Tok Uban di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua jemaah terbabit terdiri daripada individu berusia antara 20 hingga 70 tahun dikesan ingkar dengan SOP dalam pemeriksaan pada 9 malam itu.

Menurutnya, sebanyak 28 saman dikeluarkan di lokasi pertama diperiksa, manakala sembilan lagi diberikan kepada jemaah di surau kedua.

"Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka selain menunaikan solat Isyak berjemaah walaupun sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan sepanjang PKP ini.

"Ia jelas melanggar SOP termasuk penjarakan fizikal yang bukan sahaja boleh membahayakan, malah memberi risiko kepada penularan Covid-19.

"Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama terutama untuk mengekang peningkatan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, satu video berdurasi 22 saat tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu ditahan dan sedang berselawat di atas kenderaan polis dipercayai ketika di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mohd Nasaruddin berkata, terdapat juga jemaah yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun tetapi atas budi bicara, pihaknya hanya memberi nasihat memandangkan mereka individu di bawah umur.

"Pihak kami akan terus membuat rondaan dan pemantauan untuk mengenal pasti mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar SOP selain mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada polis jika berlaku di kawasan mereka.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan membabitkan pelanggaran SOP terutama di sepanjang sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 11:23am
    d