mutakhir

'Tok Wan pun nak cucuk vaksin Covid-19'

Oleh BERNAMA

Jitra: Tidak semua warga emas mempunyai keupayaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), apatah lagi bagi yang terlantar akibat sakit kronik atau sudah terlalu uzur kerana dimamah usia.

Itu antara masalah yang dihadapi segelintir warga emas yang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 yang jelas, bukan mereka menolak, sebaliknya sukar untuk 'bergerak'.

"Tokwan dah daftar nama dekat JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), la ni dok tunggu depa panggil (sekarang tengah tunggu mereka panggil), tapi dok sakit kaki macam mana nak pergi pusat (PPV)," kata Shaari Sabu, 92, kepada Bernama di rumahnya di Kampung Tanah Merah Dalam dekat sini, hari ini.

Shaari berkata dia mengalami kesukaran untuk keluar dari kampung dan pergi ke PPV kerana tidak boleh berdiri lama ekoran mengalami penyakit gout yang menyebabkan kakinya sentiasa membengkak, namun katanya ia bukan alasan untuknya menolak vaksin.

Mesra disapa 'Tokwan', warga emas itu berkata dia tahu mengenai vaksin daripada JPKK dan cucunya sering memberikan penerangan tentang kepentingan untuk mendapatkan dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Shaari berkata bukan sahaja dirinya, malah isterinya, Ropeah Man, 86, juga sukar untuk keluar kerana sudah lama tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot serta perlu dibantu untuk bergerak walaupun hanya di dalam rumah.

Berkongsi masalah sama ialah jiran mereka iaitu Siti Noraini Yop, 50, yang sudah setahun terlantar di katil selepas diserang strok akibat mengalami tekanan darah terlalu tinggi awal tahun lalu.

Siti Noraini adalah ibu tunggal selepas kematian suami dan walaupun belum mencapai usia warga emas, dia sudah hilang keupayaan dan lebih sulit lagi apabila keluarganya tergolong dalam kategori kurang berkemampuan dan terpaksa bergantung kepada bantuan saudara-mara.

Sementara itu, JPKK Kampung Tanah Merah Azman Abu Hassan berkata pihaknya sudah membangkitkan isu mobiliti golongan berkenaan kepada pihak pegawai daerah dan sedang mencari jalan untuk mempermudahkan urusan mereka untuk mendapat vaksin.

"Alhamdulillah, pihak Pejabat Daerah Kubang Pasu dan hospital sangat mengambil berat tentang isu ini dan saya dimaklumkan mungkin mereka semua boleh mendapat suntikan vaksin di rumah, cuma kita masih tunggu macam mana susun atur di pihak Kementerian Kesihatan.

"Saya sudah mendapatkan nama-nama mereka yang terlantar dan bermasalah untuk ke PPV dan kita akan cuba sebaik mungkin untuk pastikan mereka juga dapat menerima suntikan vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp memberitahu kehadiran penerima suntikan vaksin di negeri ini meningkat begitu ketara.

"Pada hari suntikan, semua vaksin yang dibekalkan 100 peratus digunakan, ini menunjukkan strategi pemberian janji temu dan susulan bagi menentukan kehadiran, dan menyediakan senarai gantian awal pada mereka yang tidak dapat hadir atas pelbagai sebab, membolehkan bilangan yang disuntik mencapai bilangan ditetapkan," katanya.

Beliau juga menyarankan orang ramai terutama warga emas yang mempunyai masalah seperti sukar ke PPV, untuk memaklumkan perkara itu kepada bilik gerakan immunisasi daerah atau hotline Covid-19 Immunization Task Force menerusi talian 04-7026888.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 2:32pm
    d