mutakhir

Lari keluar bila nampak polis pantau taman awam

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Terkejut melihat sekumpulan polis dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), penduduk yang sedang berjoging dan bersenam di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, segera berlari keluar dari lokasi berkenaan.

Tinjauan di taman awam itu bermula 7 pagi tadi mendapati masih ada segelintir penduduk berdegil dan meneruskan aktiviti riadah seperti biasa di taman itu meskipun sekatan pergerakan penuh (SPP) fasa pertama sudah masuk hari keenam.

Terdapat kain rentang dipasang oleh pihak MBSA berwarna jingga tertulis 'Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Semua Taman-Taman Awam Akan Ditutup Bermula 1-14 Jun 2021' di pintu masuk utama ke taman itu.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Aishah, 35, dan tinggal berhampiran taman terbabit berkata, sejak hari pertama pelaksanaan SPP itu, ada pengunjung melakukan aktiviti di taman pada setiap pagi dan petang seperti biasa

"Saya nampak keadaan seperti biasa, seolah-olah tiada pelaksanaan PKP sebab penduduk keluar masuk ke taman pagi dan petang seperti biasa, malah petang... lebih ramai.

"Ini tidak adil bagi penduduk yang patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan berkorban untuk berada di rumah seperti kami sepanjang tempoh ini," katanya.

Sementara itu, Ali Abdullah, 58, pula kesal apabila ramai ibu bapa membawa masuk bayi berusia bawah dua tahun masuk ke kawasan taman berkenaan, petang semalam.

"Pagi-pagi ini kebanyakan 'serious jogger' macam saya dan saya nampak betul-betul jaga SOP, jaga jarak, tetapi sebelah petang ramai bawa keluarga termasuk anak-anak bawah dua tahun malah ada yang bawa anak kecil berbasikal, petang semalam.

"Bagi saya sendiri, sepanjang tempoh ini, saya memilih untuk tidak masuk dalam taman dan hanya joging di laluan pejalan kaki, cuma saya amat berharap MBSA menambah baik laluan pejalan kaki di luar untuk keselesaan penduduk terutamanya yang sudah berusia seperti saya," katanya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, sepanjang tempoh SPP, taman-taman awam ditutup sepenuhnya dan orang ramai tidak dibenarkan masuk untuk melakukan aktiviti riadah kerana kekhuatiran orang awam akan berkumpul.

Untuk rekod, selain Taman Tasik Seksyen 7, di bawah kawasan pentadbiran MBSA, terdapat lebih 20 taman awam antaranya Taman Tasik Shah Alam Seksyen 14, Central Park Setia Alam, Taman Wetland 1 & 2 Kota Kemuning dan Taman Rekreasi Bukit Jelutong.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 10:00am
    d