mutakhir

Sabah agih 10,000 komputer riba untuk pelajar Tingkatan 5, 6 jalani PdPR

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengagihkan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) untuk pelajar Tingkatan Lima dan Enam di negeri ini bermula 19 Julai sehingga 18 Oktober ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pemberian komputer riba yang membabitkan peruntukan RM15 juta itu diberi khusus untuk pelajar menduduki peperiksaan penting penghujung tahun ini.

Beliau berkata, pemberian komputer riba itu membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini dan kita berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar.

"Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hajiji berkata, pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk fasa pertama ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

"Menerusi mesyuarat kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan agar tidak tercicir dalam PdPR.

"Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenal pasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pemberian komputer riba bagi fasa pertama itu membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

"Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)," katanya.

Awal tahun ini, beliau memaklumkan pihaknya akan berusaha membantu memberi kemudahan gajet kepada golongan murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan bagi menjalani sesi PdPR.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 3:16pm
    d