mutakhir

Pekerja sendiri adu, ragui kebenaran operasi kilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) diarah menyiasat dakwaan kilang yang beroperasi menggunakan pengisytiharan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai operasi kilang berkenaan yang dibuat oleh pekerja kilang itu sendiri.

"Saya tidak pasti jumlah sebenar majikan yang dikesan bagi kesalahan itu tapi kita memang ada terima (aduan) di mana pekerja sendiri menelefon kami dan memaklumkan syarikat mereka tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting.

"Namun, pekerja sendiri pelik bagaimana tempat kerja mereka boleh beroperasi dalam tempoh(sekatan penuh) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan produk yang dihasilkan bukan kategori essential (keperluan).

"Justeru itu, JTK akan melakukan siasatan berhubung perkara itu dan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya ketika ditemui media selepas lawatan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan sebuah kilang memproses ais berhampiran Pasar Harian Selayang di sini, hari ini.

Mengenai lawatan itu, Saravanan berkata, beliau tampil untuk melihat sendiri keadaan di kawasan berkenaan susulan insiden pergaduhan yang berlaku kelmarin.

"Berdasarkan pemantauan dilakukan mendapati keadaan pasar borong ini dalam keadaan terkawal dan bersih," katanya yang berharap kejadian sama tidak berulang.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat kes pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang didakwa berpunca daripada perselisihan faham menolak bakul sayur.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 5:22pm
    d