mutakhir

Rider dikompaun kerana melepak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis mengeluarkan kompaun ke atas pekerja syarikat penghantaran selepas mendapati dia melepak bersama seorang lagi remaja lelaki di atas motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wangsa Maju, di sini bukan seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis mengesan video yang ditularkan melalui aplikasi Twitter di mana menurut pemilik akaun Twitter itu, adik lelakinya baru pulang dari kerja dikompaun sewaktu berada di parkir motosikal.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian berlaku jam 8.30 malam semalam, sewaktu Team Pematuhan Op Covid-19 yang terdiri daripada pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membuat pemantauan di sebuah PPR.

"Team Pematuhan mendapati dua remaja sedang melepak di atas motosikal tanpa menghiraukan kehadiran team terbabit yang sedang membuat pemantauan di kawasan itu.

"Sewaktu disoal oleh pegawai Team Pematuhan, mereka memberikan alasan hanya duduk dan makan roti di parkir itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, Team Pematuhan kemudian mengeluarkan saman kompaun mengikut Peraturan 17, Akta 342 di atas kesalahan lain-lain aktiviti yang tidak dibenarkan iaitu (berkumpul).

"Orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan secepat yang mungkin.

"Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan sosial boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sukar dibendung," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 9:45pm