mutakhir

Polis 'terjah' rumah penduduk degil buat ujian calitan Covid-19 [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah menjadi alasan apabila penduduk enggan menjalani ujian calitan Covid-19 yang diadakan selama dua hari sejak semalam di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, di sini.

Berikutan kedegilan itu, polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa pergi dari rumah ke rumah bagi memastikan penduduk melakukan ujian itu di balai raya kampung berkenaan.

Ujian calitan dilakukan berikutan terdapat 11 orang daripada beberapa keluarga didapati positif Covid-19 selepas mereka dikatakan menziarahi kematian di Telemong, Hulu Terengganu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seberang Baruh, Mohd Junaidi Long berkata, seramai 1,000 penduduk dikenal pasti untuk menjalani ujian berkenaan.

Katanya, dalam tempoh dua hari, hanya 690 penduduk yang keluar menjalani ujian berkenaan yang ditutup setakat 2 petang tadi.

"Kita sudah menjangkakan tidak semua akan memberi kerjasama dan meletakkan sasaran hanya 700 orang daripada jumlah yang dikenal pasti akan keluar menjalani ujian berkenaan.

"Hari pertama sambutan agak baik iaitu seramai 398 orang, tetapi pada hari ini sambutan dingin iaitu hanya sekitar 50 orang sahaja yang keluar menyebabkan polis terpaksa campur tangan," katanya.

Katanya, sebilangan besar penduduk memberi alasan bukan kontak rapat, tidak bergaul dan tidak keluar rumah menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak menjalani ujian berkenaan.

"Tindakan yang diambil pihak berkuasa dengan pergi dari rumah ke rumah penduduk dilihat berkesan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di kampung berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 5:41pm
    d