mutakhir

JTK keluarkan hampir RM2 juta kompaun [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Hampir RM2 juta kompaun membabitkan 220 kes dikeluarkan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan mengikut Akta 342 yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja sehingga semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia , Datuk Awang Hashim, berkata, kesalahan paling tinggi yang dilakukan adalah majikan gagal mematuhi arahan membenarkan pekerja Bekerja Dari Rumah (BDR) iaitu sebanyak 78 kes.

"Antara kesalahan lain yang dikompaun adalah beroperasi tanpa kebenaran dengan 57 kes, individu gagal mendaftar masuk premis (18) dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal (31).

"Ini adalah empat kesalahan paling tinggi yang dilakukan bermula 1 Jun sehingga 12 Julai manakala 36 lagi kesalahan lain.

"Sebenarnya tujuan kompaun adalah untuk mendisiplinkan majikan sahaja bagi bersama kerajaan untuk memerangi Covid-19 kerana kali ini terdapat varian pandemik dilihat lebih kuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Bakul Makanan Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang di Kampung Gajah Mati, di sini, hari ini.

Awang berkata, kompaun paling banyak dikeluarkan di Selangor iaitu berjumlah RM762,000 diikuti Kuala Lumpur (RM541,0000), Pulau Pinang (RM133,000) serta Negeri Sembilan (RM130,000).

Katanya, kesemua kompaun yang dikeluarkan adalah menerusi pemeriksaan dijalankan terhadap 1,901 premis di seluruh negara.

"Sebanyak 181 kompaun dikeluarkan kepada majikan, tiga kepada penyedia penginapan dan 18 kepada pekerja.

"Sebanyak 95 penerima kompaun terbabit dalam sektor perkhidmatan manakala 67 lagi terdiri daripada mereka yang berada dalam sektor pembuatan, manakala selebihnya, sektor pembinaan, pertanian dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, sebanyak 5,675 pelbagai aduan diterima oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM )melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sehingga kelmarin (Ahad).

Katanya, majikan yang tidak membenarkan pekerja BDR kekal dengan aduan tertinggi iaitu sebanyak 2,292 kes.

"Selain itu, terdapat juga majikan yang membuang pekerja secara senyap-senyap tanpa mengikut prosedur dan kita akan ambil tindakan mengikut Akta Buruh.

"Mahkamah Perusahaan dan Jabatan Pembangunan Kerja akan terbabit secara langsung untuk menyiasat isu ini antara majikan dan pekerja," katanya.

Awang berkata, KSM juga sudah menyelesaikan 4,105 aduan WFW setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 4:42pm
    d