mutakhir

Remaja bawah 18 tahun, calon SPM tidak diberikan vaksin [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini tidak akan dilaksanakan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keputusan dibuat atas nasihat pakar kesihatan yang mengecualikan remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun termasuk calon SPM daripada menerima vaksin Covid-19.

"Setakat ini golongan usia ini (remaja)... Kita pernah mempertimbangkannya sebab di luar negara ada suntikan yang boleh diambil oleh remaja berusia 12 hingga 17 tahun ini berdasarkan laporan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat menggunakan vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech)

"Namun begitu, kita masih lagi meneliti data klinikal melalui jawatankuasa panel di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berikutan terdapatnya laporan wujudnya risiko Myocarditis atau radang jantung terhadap golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan itu juga, pihaknya beranggapan adalah lebih selamat untuk kerajaan melengkapkan dahulu pandangan pakar kesihatan berkenaan isu ini.

"Buat masa ini, ia masih dalam peringkat kajian dan kita tunggu sahajalah keputusan nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama , Ahmad Amzad berkata, MOSTI belum mendapat arahan khusus dari segi tarikh yang tetap untuk pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 kepada calon yang akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

"Apa yang boleh saya katakan, ia adalah dalam tempoh terdekat dan memang dalam perancangan kita untuk golongan yang akan berhadapan dengan peperiksaan (STPM) ini akan disegerakan pemberian vaksin Covid-19 ini.

"Dalam masa sama juga, kita sudah pun mengeluarkan garis panduan untuk mereka yang berusia 18 tahun yang mana walaupun mereka belum mencecah usia 18 tahun dari segi tarikh lahirnya dalam kad pengenalan namun sudah pun mencapai usia berkenaan dari segi tahun pula maka mereka tetap boleh menerima suntikan dengan kebenaran ibu bapa," katanya.

Pada 18 Jun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengumumkan calon peperiksaan STPM bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 akhir bulan ini.

Beliau dipetik berkata, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 6:01pm
    d