mutakhir

Kedai buku, komputer dibenar operasi mulai esok

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membenarkan kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar selain memastikan guru serta pelajar dapat menjalankan Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa gangguan.

"(Ini kerana) Pandemik Covid-19 ini sudah mengubah cara pembelajaran harian, dan semua institusi pendidikan kini mempraktikkan sistem pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

"Selain itu, sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ke kawasan PKPD dengan syarat mendapat kebenaran polis bagi tujuan mengambil peperiksaan termasuk peperiksaan profesional," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 80,339 pemeriksaan dan 'snap check' (pemeriksaan mengejut) Covid-19 di seluruh negara dengan kekuatan 19,029 anggota.

"Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,246 kilang, 15,682 premis perniagaan, 924 tapak pembinaan dan 326 asrama penempatan pekerja.

"Dari jumlah itu, 180 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa peningkatan kes Covid-19 mendadak ini adalah disebabkan ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar yang dilakukan di kawasan PKPD terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, semalam, seramai 134,569 individu menjalani ujian saringan, manakala di Selangor sahaja seramai 50,646 individu disaring, yang mana 6,120 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Trend peningkatan kes positif Covid-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan negara jiran seperti Indonesia juga mencatatkan 56,757 kes positif pada hari ini.

"Thailand pula merekodkan sebanyak 9,186 kes positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 8:26pm
    d