mutakhir

Penerima vaksin di PPV IPT@UKM cecah 100,000

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (PPV IPT@UKM) yang dibuka sejak 5 Mei lalu sudah mencecah 100,000 penerima vaksin sehingga hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 97,969 orang sudah menerima vaksin dos pertama manakala 7,833 orang menerima vaksin dos kedua dan hari ini, PPV IPT@UKM sudah mencapai 100,000 orang penerima vaksin dos pertama.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, UKM bukan sahaja sebuah IPT, malah ingin menjadi sebuah universiti yang mesra komuniti melalui pembabitannya sebagai sebuah PPV IPT di Selangor.

"PPV IPT@UKM adalah tanda sokongan UKM kepada usaha negara untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera bagi memerangi wabak Covid-19.

"Semoga sumbangan dan peranan UKM sebagai PPV IPT@UKM terpahat di hati masyarakat yang menerima vaksin di sini," katanya yang meraikan penerima vaksin ke 100,000 di UKM, Bangi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ekhwan turut memuji sukarelawan yang menyumbang tenaga di PPV IPT@UKM dan menyifatkan mereka adalah wira yang banyak melancarkan program berkenaan.

"Kejayaan ini dicapai melalui kerjasama sukarelawan kita yang terdiri daripada pelajar, kakitangan universiti dan orang awam. Mereka adalah wira tidak didendang yang membantu pasukan perubatan demi memastikan proses vaksinasi ini," katanya.

Sebelum ini, sebanyak 19 PPV IPT dibuka bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan lebih cepat.

Sementara itu, penerima vaksin yang ke 100,000, Shabirin Harun, 57, diraikan oleh kakitangan UKM dengan menerima sumbangan berupa plak 100,000 dan cenderamata yang disampaikan Ekhwan di Dewan Gemilang, UKM.

Selain itu, Nurhidayah Hasnul, penerima vaksin ke 99,999 dan Fatin Fasihah Mohd Ilkham, penerima vaksin ke 100,001 juga turut menerima cenderamata dari UKM sebagai tanda penghargaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 16, 2021 @ 10:19pm
    d