mutakhir

Patuhi SOP ibadah korban, elak cetus kluster Covid-19

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Meskipun maksimum 20 orang dibenarkan untuk terbabit dalam ibadah korban, penganjur program itu di Perak diingatkan supaya mengambil kira jumlah ternakan yang mahu disembelih ketika memutuskan jumlah individu perlu hadir.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusof Husin berkata, ia penting bagi mengelak kehadiran individu secara berlebihan yang boleh mencetus kepada risiko penularan wabak Covid-19.

"Bagi setiap sesi, jumlah petugas yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid atau surau.

"Namun, sekiranya ternakan korban sedikit, wajar dilihat keperluan petugas, yang mana penganjur disaran menyenaraikan jumlah petugas yang bersesuaian untuk melakukan kerja penyembelihan dan berkaitan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Yusop berkata, pihaknya khuatir jika wujud kluster baharu membabitkan ibadah korban akibat kecuaian dan sikap sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengawal dan berusaha mencegah penularan wabak ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pelaksanaan ibadah korban dan akikah dalam tempoh Perintah Kawalan pergerakan (PKP) di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 12:51pm
    d