mutakhir

MKN nilai semula strategi lawan Covid-19 [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Pagoh: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti serta menilai semula strategi sedia ada bagi melawan Covid-19 di negara ini dalam mesyuarat khas Isnin ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pada mesyuarat itu MKN akan membuat penilaian semula sama ada strategi sedia ada cukup berkesan atau perlu diubah bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Katanya, data harian menunjukkan peningkatan kes tinggi di Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor selain beberapa negeri lain.

"Oleh itu kita akan teliti perhalusi kenapa perkara itu (peningkatan) berlaku dan apakah langkah yang sedang diambil ketika ini tidak lagi cukup berkesan.

"Perlukah kita tingkatkan lagi proses buat saringan dan pengesanan kontak lebih banyak.

"Di samping itu adakah isu masalah dalaman di KKM sebagai contoh babitkan soal kakitangan dan ubat ubatan yang diperlukan.

"Contohnya bekalan tong oksigen, jika perlu dibawa masuk ke dalam negara jika ia tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyampaian Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu Parlimen Pagoh, di sini, hari ini.

Bilangan kes positif Covid-19 harian di negara ini mencecah 20,596 kes semalam, tertinggi sejak Januari 2020.

Selangor dilapor menyumbang kes tertinggi iaitu 8,549 diikuti Kuala Lumpur dengan 2,163 kes.

Selain itu, empat negeri lain turut menyumbang kes melebihi 1,000 iaitu Kedah dengan sebanyak 1,446 kes; Johor (1,300); Sabah (1,062) dan Pulau Pinang dengan 1,022 kes.

Dalam pasa itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengakui berasa bimbang berikutan peningkatan kes harian yang semakin tinggi.

"Bagaimanapun dalam analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM), hampir sebahagian besar peningkatan kes membabitkan jangkitan ringan dalam kategori 1 dan 2 agak ringan manakala kategori 3, 4 dan 5 berada dalam kadar satu hingga dua peratus sahaja.

"Apa pun yang penting kita nak tentukan hospital mampu untuk menyediakan wad unit rawatan rapi (ICU) atau kemudahan lain dengan ada tindakan segera boleh diambil untuk tangani peningkatan kes," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, KKM sudah diberi kuasa penuh untuk melakukan apa yang perlu bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

"Dalam hal tertentu KKM tidak perlu rujuk kepada saya. Mereka boleh laksanakan sendiri walaupun ia membabitkan perbelanjaan besar.

"Ini kerana sebahagian besar sudah diperuntukkan dalam peruntukan untuk KKM dan jawatankuasa terbabit juga sudah pun ada bajet yang boleh digunakan," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2021 @ 3:13pm
d