mutakhir

Polis cari individu ingkar SOP PPN beriadah di Bukit Bangkong [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika beriadah di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan termasuk menjurus kepada memanggil individu yang dikenal pasti serta dicam menerusi video yang tular itu bagi direkodkan percakapan.

"Kita akan jalankan dan lengkapkan siasatan dahulu sebelum dapatkan arahan serta nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita tengok dahulu di mana pelanggaran yang dikatakan berlaku memandangkan kita pun setakat ini tidak tahu bila tarikh sebenar kejadian.

"Bagaimanapun oleh kerana video itu sudah tular, ia menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menyiasat," katanya dalam sidang media sempena Program Sumbangan Kotak Makanan dari Lions Clubs Ipoh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Sumbangan itu akan disalurkan kepada petugas barisan hadapan di tujuh sekatan jalan raya (SJR) sekitar Ipoh selain 12 keluarga anggota IPD Ipoh yang sedang menjalani kuarantin serta individu dalam kesusahan yang bakal dibantu menerusi Op Bantu.

Yahaya bagaimanapun berkata, setakat ini tiada individu berkaitan video berkenaan dipanggil memberi keterangan memandangkan siasatan masih di peringkat awal.

"Kalau arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya adalah bagi mendakwa mereka, maka kita akan dakwa, akan ikut arahan itu namun ia adalah selepas kertas siasatan selesai," katanya.

Semalam, Yahaya dalam satu kenyataan berkata, siasatan dijalankan pihaknya susulan sebaran video itu yang mula dimuat naik seorang pengguna Instagram menggunakan nama akaun 'Ikajaferi' dan tular di Twitter.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata tiada laporan diterima pihaknya setakat ini mengenai penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 palsu berlaku di bandar raya ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 3:36pm
    d