mutakhir

Padah lepas gian buat aksi drift

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kebosanan kerana sudah lama tidak dapat melakukan aksi drift kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan seorang lelaki menjadikan kawasan lampu isyarat di hadapan Wisma Tani di Jalan Sultan Salahuddin di sini, bagi melepaskan giannya.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 30 tahun itu mengundang padah apabila polis yang menerima maklumat bertindak menahannya di hadapan pusat beli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada 4.30 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, hasil aduan orang awam dan risikan Unit Risikan Operasi JSPT mengesan suspek sebelum menahannya selepas melakukan aksi terbabit.

Menurutnya, suspek ketika disoal siasat mendakwa dia melakukan aksi drift terbabit bagi melepaskan gian dan kebosanan serta ingin mendapatkan keseronokan ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Sebelum ini suspek berkumpul bersama rakannya dan melakukan aksi drift itu di litar di Shah Alam, Selangor namun sejak PKP dilaksanakan dia tidak dapat merentas daerah.

"Jadi bagi melepaskan gian kerana kebosanan sudah lama tidak melakukan aksi itu menyebabkan dia sanggup melakukannya di jalan raya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Sarifudin berkata, kereta itu turut disita dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan pemeriksaan mendapati dia melakukan kesalahan ubah suai kenderaan.

"JPJ mengeluarkan dua saman atas kesalahan penyerap bunyi tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai bentuk serta peralatan kenderaan.

"Pemilik asal kenderaan terbabit juga akan dipanggil kerana suspek masih belum menukar nama ketika membeli kereta itu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dia direman dua hari tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: August 26, 2021 @ 1:36pm
    d