rap

Bagi dia sejuk baru bincang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SAYA bukan panas baran, garang dan main cakap lepas, tetapi tegas dalam bekerja," tegas penyanyi nasyid Bazli Hazwan Che Osman, 34, yang juga anggota kumpulan Unic mengenai dakwaan Wan Najdi Wan Mohd Noh, 26, sehingga dia ingin keluar dari kumpulan itu.

Bazli berkata, tindakan Najdi meluahkan perasaan di laman Instagram tidak ubah seperti cara budak-budak sebaliknya perkara itu boleh dibawa berbincang.

"Kalau betul ada perkara yang tak puas hati, kenapa tidak mesej atau jumpa secara personal? Mungkin ada perkara yang dia tak puas hati, tetapi bukan dengan cara ini.

"Kenyataan dibuat Najdi saya tak boleh kata keterlaluan sebab dia dalam keadaan 'panas'. Namun, saya tetap nak pertahankan diri yang mana tak sepatutnya dia berkata saya sedemikian.

"Saya akui seorang tegas dalam bekerja. Jadi, ini perkara biasa. Dalam masa sama, Najdi pula masih baru dalam bidang ini dan saya anggap ini proses pembelajaran untuknya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bazli, dari semalam sehingga hari ini Najdi belum menghantar sebarang mesej bagi menjelaskan perkara itu.

Malah, Bazli juga belum boleh memberi sebarang komen berhubung tindakan Najdi yang ingin keluar kumpulan.

"Dalam grup Whatsapp dia tak cakap apa-apa pun. Dia hanya diam. Malah, sesi ketika menjayakan promosi lagu Sedar di stesen radio Zayan pagi tadi pun dia tidak ada. Saya pula tak ada mesej dia secara peribadi.

"Mengenai keputusannya ingin tarik diri keluar kumpulan, saya tak boleh nak komen lebih. Sebabnya baru dua hari dan keadaan masih 'panas'. Kita bagi dia sejuk dulu. Lagi pula, masalah boleh dibawa berbincang," katanya.

Terdahulu menerusi laporan akhbar ini, Najdi akui ada masalah dengan Bazli hingga membuat keputusan menarik diri dari kumpulan yang turut dianggotai Fakhrul Radhi Khamarudin.

Waktu sama, Najdi tidak akan bersama Bazli dan Fakhrul di pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN2017) yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Kata Nadji, kesabarannya sudah mencapai had dan berharap keputusan itu memberi keselesaan kepada perjalanan kerjaya Unic selepas ini.

Berita berkaitan:

'Saya tarik diri sebab Bazli'

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 2:09pm
d