rap

'Masih anggap diri tukang cuci'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PESERTA Mentor Otai, Alina Hassan yang berkongsi menjadi tukang cuci bagi menyara hidup mengakui pernah diejek dan diperlekehkan rakan artis.

Alina, 50, yang juga protege kepada penyanyi Siti Sarah berkata, dia sedikit pun tidak ambil hati kerana percaya itu rezeki dan suratan sudah tertulis buat dirinya.

"Kalau orang tanya saya akan jawab dan bercerita. Diakui ada yang sedih dan simpati, tetapi tidak kurang juga yang memperlekehkan kerja ini. Mereka cakap, saya artis jadi tidak patut jadi tukang cuci.

"Saya fikir balik, pada usia sebegini apa lagi pekerjaan sesuai untuk saya? Kalau tidak bekerja, saya nak makan apa? Jadi, saya anggap cakap-cakap mereka sekadar angin lalu saja.

"Saya tidak perlu malu. Biarlah orang nak cakap apa pun. Bagi saya, pekerjaan ini sangat mulia. Hati saya tenang setiap kali dapat bersihkan tempat kotor seperti tandas. Walaupun gaji tidak banyak, tapi saya puas," katanya kepada Harian Metro.

Alina, bekas juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 2006 berkata, sehingga sekarang dia masih menganggap dirinya sebagai tukang cuci meski setiap minggu tampil bergaya dalam Mentor Otai.

Menurut Alina, mentornya banyak memberikan kata-kata semangat untuk dia terus bangkit dan tidak lemah dengan cakap-cakap orang sekeliling.

"Saya sudah sebati dengan pekerjaan ini. Setiap kali Sarah atau suaminya berkongsi sesuatu, saya rasa kerdil. Mereka sangat baik dengan saya.

"Saya hargai sikap ambil berat mereka dan orang sekeliling. Saya tidak menjangka masih ada yang sayang dan kenal saya. Malah, kadang-kadang saya lupa pernah berada dalam industri ini," katanya.

Dalam masa sama, Alina berterima kasih kepada pihak Seniman dan presidennya, Zed Zaidi kerana sudi membantu dalam proses mendapatkan tempat tinggal.

"Alhamdulillah, saya bersyukur jika mereka boleh membantu. Malah saya memang mengharapkan bantuan mereka. Itu saja jalan terakhir saya. Terima kasih Seniman," katanya.

Berita berkaitan:

Jangan risau Alina, Seniman cuba bantu

Alina tiada tempat tinggal

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 12:57pm
d