rap

Prime Domestic ada pengganti Aweera

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KUMPULAN rock Prime Domestic tidak terjejas dengan tindakan penyanyi utamanya, Aweera meninggalkan kumpulan itu sejak sebulan lalu.

Pengurus Prime Domestic, Noh Abdul Rahman, 40, berkata, mereka sudah menemui penyanyi sesuai menggantikan tempat Aweera.

“Kita sudah ada pengganti Aweera. Namun, buat masa ini biarlah kami merahsiakannya dulu,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi Aweera ketika bersama kumpulan diterajui bekas pemain gitar kumpulan Wings, Joe itu, Noh berkata, dia tidak menafikan Aweera gagal memberikan kualiti persembahan diharapkan.

“Prime Domestic kerap berdepan masalah Aweera gagal menyanyi dengan baik walaupun hanya untuk majlis makan malam yang santai.

"Dia sering tidur lambat, kurang stamina dan ia menjejaskan kualitinya sebagai penyanyi yang baik. Kita boleh ambil contoh Datuk Awie, dia adalah penyanyi hebat dan amat berdisiplin. Dia akan pastikan mendapat tidur secukupnya sekiranya bakal terbabit dengan mana-mana persembahan. Namun, ciri-ciri itu tidak ada pada Aweera," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Aweera mengesahkan dia sudah meninggalkan Prime Domestic.

Aweera yang enggan menjelaskan cerita sebenar mengenai pengundurannya itu menganggap rezekinya tiada bersama kumpulan itu.

Selain Aweera, turut meninggalkan kumpulan itu terlebih dahulu ialah pemain gitar, Hillary Ang dan pemain bass, Fauzi sekali gus menjadikan Prime Domestic kini hanya dianggotai Joe dan Ainol (dram).

Ditanya mengenai tindakan Hillary itu, Noh berkata, dia sepatutnya lebih tahu masalah berlaku dan tak perlu menyerahkan perkara kepada Joe untuk menjawabnya.

“Dia yang ambil keputusan keluar dari Prime Domestic dan kami tak dapat menghalang. Rasanya tak perlulah kami jelaskan secara mendalam, namun apa yang boleh diperkatakan masalah ini berpunca sikap iri hatinya terhadap Joe.

"Ia membawa kepada isu ‘tikam belakang’ khususnya memburukkan nama Joe kepada pihak luar dan ia mengecewakannya selaku pengasas dan ketua kumpulan Prime Domestic.

"Joe sudah menguruskan anggota Prime Domestic sebaik mungkin dengan mencarikan peluang untuk buat persembahan sebagai sumber pendapatan, tapi ada yang tersalah tafsir dan menganggap akan diberikan gaji bulanan," katanya.

Menurutnya, perkara itu boleh diselesaikan sekiranya dia meminta maaf kepada Joe tetapi enggan berbuat demikian.

Noh berkata, Fauzi pula tidak mempunyai masalah dengan Prime Domestic dan dia berundur kerana mahu mencari pendapatan lebih untuk kerjayanya sebagai pemuzik.

Sementara itu, Konsert Rockstar di Stadium Pasir Gudang, Johor menampilkan Prime Domestic dan Ella sepatutnya berlangsung pada 7 September depan terpaksa dibatalkan.

Noh berkata, penganjur meminta konsert dibatalkan atas beberapa masalah tertentu.

Berita berkaitan:'Tiada rezeki bersama Prime Domestic'

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:52pm
d