rap

[UPDATE] 'Saya rasa sedih, hiba...'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“APA yang berlaku antara saya dan UNIC bukanlah gimik untuk melariskan projek. Ia bukan cara saya,” kata penyanyi Fitri Haris berhubung isu yang dibangkitkan kumpulan nasyid itu mengenai nyanyian lagu mereka.

Fitri, 34, atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata, keputusannya untuk berdiam diri sejak semalam bukan melarikan diri, sebaliknya mencari waktu sesuai untuk menjawab tuduhan dilemparkan.

Menurut Fitri yang juga bekas anggota UNIC, pengurusannya bertanggungjawab sepenuhnya menasihati dan melakukan sebarang tindakan demi kebaikan semua pihak.

“Saya tampil bersuara tanpa rasa dendam dan ingin menagih simpati. Saya berasa amat sedih dan hiba melihat perbalahan netizen di ruangan ruangan komen sebelum dipadamkan status mereka.

“Jadi saya merayu dan memohon bantuan supaya tidak berbalah dan menghakimi sesiapa. Saya berdiam bukan kerana melarikan diri, tetapi saya mencari saluran dan waktu yang sesuai.

“Buat masa sekarang, saya tidak akan menjawab semua kenyataan yang dikeluarkan UNIC dan pengurus mereka atau mana-mana pihak yang menyebarkan berita di sosial media, Whatsapp dan sebagainya berkaitan isu ini,” katanya.

Kelmarin, industri hiburan kecoh apabila anggota UNIC memuat naik status berbaur sindiran kepada Fitri yang dikatakan kerap menyanyikan lagu kumpulan itu pada setiap persembahannya.

Tindakan kumpulan itu turut mendapat perhatian komposer Munif dan Isman daripada kumpulan Hijjaz yang menyifatkan UNIC tidak ada hak menghalang Fitri menyanyikan lagu ciptaan mereka.

Dalam masa sama, Fitri yang juga juara program Gema Gegar Vaganza musim kedua memaklumkan dirinya belum dihubungi pihak terbabit bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Saya masih belum dihubungi secara peribadi daripada pihak mereka bagi menjelaskan isu ini.

“Atas nasihat pengurusan juga, segala urusan selepas ini perlu melalui pihak pengurusan saya saja.

“Sekali lagi saya ingin merayu dan memohon sejuta kemaafan dan keampunan Allah agar diberi masa sendiri bagi memberi fokus kepada pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang di saat-saat kritikal ini.

“Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan nasihat, kata semangat dan doa daripada sahabat munsyid, rakan penganjur, teman rapat dan keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Bukan marah, tapi ada sebab...

[UPDATE] Saya tidak mahu komen lagi...

Ini nasihat abang-abang Hijjaz

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 11:35pm
d