rap

Belum berani nak beritahu mak

Oleh Najiy Jefri

"MAK ada tanya dan minta buka balutan, tapi kami adik-beradik masih berdolak-dalik," kata pelakon Diana Rafar mengenai keadaan ibunya Rasimah Abd Rahman, 73, yang masih dirawat di Hospital Shah Alam.

Tangan kiri ibunya dipotong akibat jangkitan kuman di hospital itu, kelmarin.

Diana berkata, dia dan adik-beradik lain belum ada kekuatan untuk memberitahu perkara sebenar.

"Mak masih dalam keadaan lemah. Disebabkan itu, kami adik beradik tak berani dan belum bersedia untuk bercakap mengenai keadaan sebenarnya.

"Dalam masa sama, saya masih bingung dan lemah semangat. Saya ingat saya kuat tapi tidak. Sudah dua hari saya tak boleh tidur.

"Sedangkan hari sebelumnya saya okey saja ketika masuk bilik forensik tapi semalam baru saya sedar yang tangan mak sudah tiada. Saya berasa seperti hilang nikmat dunia," katanya.

Menurut Diana, ibunya seorang yang suka kelihatan cantik.

"Saya rasa mak dah tahu, cuma dia belum lihat keadaan sebenar dirinya sebab masih berbalut," katanya.

Dalam pada itu, Diana berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang tidak henti memberikan semangat dan mendoakan kesihatan ibunya.

Sementara itu, menerusi Instagram Story kakak kepada Diana iaitu Linda Rafar berkongsi gambar ibunya di hospital.

Terdahulu Harian Metro melaporkan tangan kiri ibu Diana dipotong akibat jangkitan kuman yang merebak ke dalam darah.

Berita berkaitan:Tangan ibu Linda, Diana kena potong

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 6:01pm
d