rap

'Sepatutnya maklum lebih awal...'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

"BUKAN tidak mahu pergi tapi saya dijadualkan pada tarikh lain, bukan hari ini," kata Datuk Farid Kamil susulan didakwa gagal hadir pada prosiding perbicaraan hari keempat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Farid ketika dihubungi Harian Metro, berkata beliau dijadualkan hadir untuk prosiding perbicaraan di mahkamah sama pada tarikh 14 dan 16 Januari serta 22 dan 23 Februari depan.

"Selama ini saya memberi kerjasama 100 peratus sepenuhnya dan tidak pernah ada masalah.

"Pihak mahkamah sepatutnya memaklumkan lebih awal mengenai perkara ini.

"Semalam, Timbalan Pendakwa Raya memberitahu tiada sebarang prosiding (hari ini) kecuali pada 14 Januari depan tetapi pagi ini tiba-tiba saja pihak mahkamah menghubungi peguam saya untuk saya hadir," katanya.

Farid menjelaskan, beliau berada di Johor Bahru sejak dua hari lalu kerana terbabit dalam program Spark Malaysia JB Mini Tour dan sebaik saja diberitahu perlu hadir ke mahkamah pagi tadi, beliau cuba bergegas pulang ke Kuala Lumpur.

Malangnya, kenderaan dipandu mengalami kerosakan menyebabkan beliau terpaksa menghantar keretanya ke bengkel.

Sehubungan itu, Farid berkata akan melaporkan diri ke balai polis berhampiran, hari ini.

Harian Metro melaporkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Farid kerana gagal hadir pada prosiding perbicaraan hari keempat dalam kes dihadapinya, hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tiga hari untuk perbicaraan kes dadah dan empat hari lagi untuk kes jenayah yang dihadapi.

Pada 25 Januari tahun lalu, Farid Kamil, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menggunakan dadah ganja THC atau Tetra Hydrocannibol di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Selain itu, Farid Kamil turut berdepan lima pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, kira-kira 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.

Sementara itu, pada 9 Mac tahun lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, jam 5.54 petang, 31 Januari tahun lalu.

Berita berkaitan:

Waran tangkap Farid Kamil

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 5:16pm
d